KENYATAN Menteri Perumahan Hajjah Zuraida Kamaruddin bahawa kementerian beliau tidak mencadangkan harga minima hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing diturunkan dari RM1 juta kepada RM600,000 adalah amat mengejutkan.

Peraturan yang diumumkan pada Belanjawan 2020 itu adalah satu polisi perumahan penting dengan kesan yang meluas kepada sektor perumahan serta masyarakat dan sepatutnya diputuskan oleh Kementerian Perumahan.

Peraturan ini adalah peraturan perumahan dan bukan peraturan kewangan.

Walau bagaimanapun adakah peraturan dibuat kerana Menteri Perumahan pernah mencadangkan Home Ownership Campaign ( HOC ) untuk warga asing seperti dari Singapura dan Hong Kong?

Peraturan baru ini dilihat seperti untuk membantu pemaju yang sepatutnya melakukan kajian pasaran agar tidak berlaku kediaman yang tidak terjual.

Permintaan hari ini adalah terhadap rumah mampu milik dan bukan hartanah mewah.

Menurut data Pusat Maklumat Hartanah Negara ( NAPIC ), pada suku pertama 2019 daripada 32,936 unit kediaman yang tidak terjual yang bernilai RM19,964.20 juta hanya 13.86 peratus atau 4,567 unit bernilai RM548.15 juta adalah terdiri dari rumah di bawah RM200,000 seunit. Ini membuktikan rumah mampu milik yang mendapat perhatian rakyat.

Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat berpendapat rendah dan sederhana memiliki rumah.

Pemaju telah mengambil satu risiko dengan membina rumah mewah dan rumah kos tinggi.

Mereka menjangkakan mengaut keuntungan yang lebih besar berbanding membina rumah mampu milik walaupun rumah mampu milik amat diperlukan.

Oleh itu, tidak wajar kerajaan membantu mereka apabila mereka gagal. Mereka telah membuat pilihan maka mereka perlu menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Harga minima RM600,000 adalah rendah berbanding dengan pendapatan rakyat di negara-negara seperti Singapura dan Hong Kong.

RM600,000 adalah 196,656 Dollar Singapura ( SGD ) atau 1,124,279 Dollar Hong Kong ( HKD ).

Sebagai perbandingan kita perlu melihat nilai harga rumah RM600,000 itu dan pendapatan rakyat di negara-negara yang menjadi sasaran pemaju Malaysia itu.

Di Malaysia, pendapatan median isi rumah adalah RM6,275 sebulan ( M40 ) dan harga rumah RM600,000 ini bersamaan dengan 95.60 bulan pendapatan bulanan mereka.

Sementara bagi rakyat Singapura, pendapatan median isi rumah mereka adalah 9,293 SGD atau RM28,325 dan ini bersamaan dengan hanya 21.16 bulan pendapatan bulanan mereka.

Bagi rakyat Hong Kong pula, pendapatan median isi rumah adalah 28,100 HKD atau RM14,974 dan ini bersamaan dengan 40.00 bulan pendapatan bulanan mereka.

Oleh yang demikian, harga rumah minima yang dilonggarkan itu adalah terlalu rendah bagi mereka. Rakyat negara asing tidak akan menghadapi masalah untuk membelinya. Rumah-rumah tersebut akan laku dijual seperti kacang goreng panas.

Polisi ini akan menyebabkan komposisi bandar-bandar kita akan berubah. Struktur masyarakat juga akan berubah dengan kebanjiran warga-warga asing ini.

Kita sedang berusaha menyelesaikan masalah-masalah sampingan yang datang dengan tenaga kerja asing dan kita akan menambah masalah dengan polisi baru ini.

Tetapi yang paling menyedihkan rakyat tempatan sedang menghadapi masalah untuk memiliki rumah walhal warga asing boleh memilikinya dengan mudah. Bantulah mereka yang memerlukan bukan para pemaju.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD,
Ketua Penyelaras Pusat Kajian Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH).

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.