POLIS memburu seorang lelaki dipercayai keturunan India kerana menghina Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara.

Penghinaan itu dibuat menerusi Twitter oleh seorang pengguna bernama Naavin Pillai pada 14 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed menegaskan, pihaknya akan bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) bagi mengesan pemilik akaun Twitter itu atas penghinaan yang dilakukan.

Katanya, unsur penghinaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Abdul Hamid Bador itu mula dikesan dalam platform media sosial itu pada 14 Oktober lalu.

“Kenyataan itu berbunyi ‘#petsatwork Anjing/Dogs/and/bersama its master/Tuhan’ disertakan dan gambar ketua polis negara bersama Perdana Menteri Malaysia.

“Pada 14 Oktober juga, JSJ telah menjalankan siasatan dan hantaran itu menimbulkan isu perkauman serta mengganggu kenteraman awam,” katanya.

Jelas Huzir, Naavin atau nama sebenarnya Naavin Mohandas, berusia 38 tahun, dan telah berada di luar negara sejak 2007 lagi.

Ujarnya, suspek adalah seorang juruteknik yang berasal dari Lembah Klang dan tidak mempunyai latar belakang politik.

“Kita akan menghubungi keluarganya untuk siasatan serta tangkapan Naavin nanti, selain akan menyemak dengan Interpol untuk mengesan kedudukan semasa suspek,” tegasnya. – 16 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.