PAS mencabar Pakatan Harapan (PH) ‘menendang’ keluar DAP daripada pakatan itu atas tindakan beberapa pemimpin parti rasis dan cauvinis berkenaan mempertikai kontrak sosial.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beliau meneliti dengan penuh kebimbangan terhadap kenyataan pemimpin DAP mempertikai kontrak sosial yang menjadi tunjang utama kepada kemerdekaan negara.

“Bermula dengan ucapan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, di Parlimen Selasa lalu, sewaktu menyerang Kongres Maruah Melayu, terang-terang menyebut kontrak sosial ini tidak wujud dengan berkata “There is no social contract”, ia sengaja direka dan diambil entah dari mana untuk mengeruhkan keadaan.

“Hari ini, seorang lagi pemimpin DAP, Dr P Ramasamy, sewaktu menyerang Majlis Profesor Negara yang mempertahankan Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, juga menyebut kontrak sosial ini tidak wujud dengan berkata “The nebulous ‘social contract’ was more a figment of Zainal’s imagination than anything else”,” kata Khairuddin memetik kenyataan Ramasamy.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, janji PH sebelum ini bahawa mereka akan mempertahankan perkara-perkara asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan menyentuh Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera adalah satu janji palsu.

Beliau menegaskan bahawa DAP bersikap biadab kerana menentang secara terbuka titah Raja-Raja Melayu melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 di Istana Maziah, Kuala Terengganu, pada 16 Oktober 2008 supaya isu berkaitan kontrak sosial tidak wajar dipertikai, lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah serta tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

“Begitu juga titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, pada 6 Ogos 2018 supaya “Jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Negara”,” katanya.

Justeru, Khairuddin mencabar PH supaya ‘menendang’ keluar DAP dari PH ekoran tindakan-tindakan biadab pemimpin parti berkenaan.

Beliau turut merafak sembah Ke bawah Duli Raja-Raja Melayu supaya memandang serius tindakan pemimpin DAP menentang secara terbuka titah supaya kontrak sosial itu tidak dipertikaikan.

“Saya menggesa polis menyiasat dan menahan pemimpin DAP yang mempertikaikan kontrak sosial ini kerana tindakan begini berpotensi mendatangkan huru-hara dalam negara,” katanya. – 19 Oktober 2019.

1 COMMENT

  1. Rasanya tibalah masanya kesultanan tanah melayu bertindak kpd pengkhianat negara ini.. nampaknya dah semakin melampau keturunan migran ni

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.