UMNO perlu beri peluang kepada MCA untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai bagi membuktikan kerjasama Muafakat Nasional mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terutamanya dari masyarakat bukan Melayu, kata Ng Lum Yong.

Presiden Pertubuhan Jaringan Rakyat Malaysia itu berkata, sejak memeterai Muafakat Nasional, UMNO dan PAS sebelum ini telah merantau ke seluruh negara untuk menerangkan kerjasama politik itu.

Namun kata bekas pengasas PKR itu, masyarakat Cina dan India sedang menunggu program yang akan dilancarkan menerusi Muafakat Nasional ini yang asalnya daripada Perpaduan Ummah dan hanya lebih menonjolkan masyarakat Melayu.

Oleh itu, beliau mencadangkan Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sebagai pentas terbaik menonjolkan semangat Muafakat Nasional.

“Sekiranya BN letakkan calon MCA untuk bertanding, ia menjadi satu ujian sama ada akan berjaya atau tidak kerana ia merangkumi semua masyarakat di sana.

“Komitmen antara BN dan Gagasan Sejahtera termasuk Berjasa dan Ikatan, merangkumi semua, sekiranya menang dengan majoriti yang lebih besar, ini akan bawa satu imej yang begitu baik pada masa depan kepada BN dan khusus Gagasan Sejahtera.

“Sekiranya, BN kalah, bermakna MCA akan bawa risiko yang tinggi dan perlu buat kajian kedudukan MCA dalam BN sekiranya masyarakat Cina tidak mengundi calon MCA dalam suasana politik yang amat tidak memberangsangkan ketika ini.

“Saya syorkan, Muafakat Nasional, UMNO perlu setuju letak calon MCA untuk bertanding di Tanjung Piai untuk buktikan Muafakat Nasional ini berjaya dan tunjuk kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa gabungan ini.

“Jika UMNO rampas kerusi ini daripada MCA, maka Muafakat Nasional ini hanya atas kertas.

“Satu contoh, di PRK Rantau, masyarakat Cina memberi undi kepada BN dan ia merupakan pencapaian luar biasa,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord baru-baru ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, akibat komplikasi jantung, 21 September lalu.

Allahyarham memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi pada PRU-14, menewaskan penyandang daripada BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng, dan calon PAS, Nordin Othman. – NTHQiBord, 19 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.