TINDAKAN DAP serta penasihat veterannya, Lim Kit Siang menyokong graduan biadab, Wong Yan Ke membuktikan parti itu membelakangkan adab tatasusila negara dan sensitiviti orang Melayu Islam.

Presiden Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, tindakan biadab graduan berkenaan sepatutnya dikecam bukan sahaja oleh warga kampus, malah seluruh masyarakat yang menyanjung kesopanan dan kesusilaan.

Justeru, beliau mengajak rakyat menolak parti rasis dan cauvinis, DAP susulan tindakan parti itu yang membawa kepada ketidakstabilan negara, termasuk apabila memberi sokongan kepada graduan berkenaan.

Sebelum ini, Kit Siang dilaporkan menggesa Naib Canselor UM, Datuk Abdul Rahim Hashim menarik semula laporan polis yang dibuat terhadap Yan Ke kerana membuat protes selepas menerima skrol ijazah sarjana muda pada istiadat konvokesyen Majlis Konvokesyen Universiti Malaya (UM), Isnin lalu.

Graduan lulusan kejuruteraan awam berkenaan dilaporkan menjerit sambil memegang plakad tertera undur VC dan ini tanah Malaysia sebagai tanda protes.

Dia dikatakan berbuat demikian bagi membantah ucapan Dr Abdul Rahim ketika Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Dr Badhrulhisham juga menyeru semua pihak untuk mempertahankan Dr Abdul Rahim yang dikritik kerana menyampaikan ucapan di Kongres Maruah Melayu, kononnya didakwa berbaur perkauman.

Walhal, katanya, adalah menjadi tanggungjawab seorang Melayu Islam melahirkan rasa kegusaran dan kebimbangan yang berlaku pada orang Melayu Islam di tanah air sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Apakah bila orang Melayu bercakap saja mengenai memperjuang dan mempertahankan hak-hak bangsa sendiri sebagaimana yang terdapat dalam Perlembagaan, terus dilabel rasis?

“Bila bangsa lain bercakap mengenai hak-hak mereka, tidak pula dianggap rasis dan dikatakan ini adalah hak asasi manusia?,” sindirnya. – 19 Oktober 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.