PENGANJURAN ‘Utamakan Beli Produk Muslim’ atau Buy Muslim First (BMF) bukan sahaja tidak memberi sebarang keuntungan kepada masyarakat Muslim malah dilihat rasis dan bersifat politik, kata Exco AMANAH Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi berkata ini kerana ia jelas bertentangan dengan polisi kerajaan negeri yang menggalakkan supaya masyarakat mengutamakan produk halal.

Katanya, kerajaan Perak tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan kempen itu di masjid seluruh Perak.

“Kerajaan sekarang sedang mempromosikan barangan halal tetapi jika tiba-tiba mengatakan beli barangan Muslim dahulu, jadi apa akan jadi kepada barangan bukan Muslim yang halal.

“Tidakkah di situ akan ada konflik di antara apa yang kerajaan hendak dan apa yang segelintir pihak ini buat?,” katanya.

Semalam, sebuah NGO yang dikenali sebagai Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Perak telah menganjurkan Kempen BMF Peringkat Masjid Negeri Perak di Masjid An-Nur, Batu 8, Hulu Kinta.

Asmuni berkata, beliau akan meminta penjelasan lanjut daripada Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim, yang didapati turut terlibat secara langsung dalam penganjuran kempen berkenaan.

“Kita bukan tak menyokong produk-produk Muslim itu diberikan keutamaan tetapi pendekatan itu janganlah nampak rasis kerana yang kita nampak ia didalangi parti politik pembangkang. Jadi apa agenda mereka ini sebenarnya?” katanya.

“Pihak kerajaan sendiri kesal penglibatan Jabatan Mufti Perak terutama ustaz Zamri Hashim sendiri yang sepatutnya memainkan peranan yang baik, bukan menjadi juara di sini. Saya akan panggil dia untuk penjelasan pada hari Isnin ini,” katanya. – 19 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.