PADA tahun 2015, Muhammad Hasrul Haris Mohd Radzi, seorang graduan UiTM telah digantung sijil Diploma. Beliau merupakan lulusan Diploma dalam bidang Fotografi telah di dapati bersalah kerana ber ‘selfie’ di atas pentas ketika Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 sedang berlangsung.

Graduan berusia 21 tahun dari UiTM Lendu, Melaka itu digantung pengajian selepas perbuatannya itu dianggap sebagai tidak menghormati etika majlis konvokesyen.

Hanya kerana teruja berselfie sebagai gimik beliau adalah lulusan fotografi, beliau telah dianggap mencemarkan majlis konvokesyen sehingga dihukum penggantungan pengajian. Tetapi yang salah tetap salah.

Seingat saya tidak ada seorang pun ahli politik yang membela beliau, malah masyarakat pada umumnya bersetuju ketika itu supaya beliau di hukum.

Minggu lepas kita sekali lagi dikejutkan dengan tindakan seorang graduan bernama Wong Yan Ke.

Tindakan beliau yang terjerit-jerit dan memaki Naib Canselor dengan perkataan rasis di dalam majlis rasmi konvokesyen bukan sesuatu yang baik. Sangat tidak beradap. Sepatutnya beliau juga dikenakan tindakan sebagaimana yang dikenakan pada graduan UITM.

Tetapi hari ini seluruh rakyat Malaysia menerima satu berita yang mengejutkan. Pihak pengurusan universiti berkenaan mengambil keputusan tidak akan mengenakan apa-apa hukuman yang setimpal dengan kesalahan beliau.

Malah beliau telah dilepaskan begitu sahaja. Beliau juga dijemput untuk mengambil skrol ijazah beliau di pejabat pengurusan akademik pada bila-bila masa.

Bayangkan nasib seorang graduan yang hanya teruja berselfie secara beradap dan tenang telah dihukum gantung sijil sehingga dua tahun tetapi seorang lagi graduan yang memaki hamun orang lain, terjerit-jerit dan menggunakan plakad di atas pentas majlis konvokesyen sehingga mengganggu majlis konvokesyen dilepaskan oleh pihak berkuasa universiti. Sungguh tidak adil.

Keputusan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan disiplin kepada graduan berkenaan jelas menunjukkan isyarat bahawa pihak pengurusan tertinggi universiti berkenaan telah bersetuju dan seolah-olah meraikan sikap biadap graduan tersebut.

Keputusan pengurusan universiti berkenaan juga menunjukkan budaya kebiadapan boleh diraikan dan dibenarkan atas nama kebebasan bersuara walaupun kebiadaban itu dilakukan di dalam sebuah majlis rasmi dan penuh istiadat seperti majlis konvokesyen.

Keputusan itu juga menunjukkan bahawa pihak pengurusan universiti berkenaan bersetuju dengan pelajar tersebut yang mengatakan bahawa Naib Canselor universiti berkenaan adalah seorang yang rasis dan perkauman kerana Naib Canselor berkenaan telah terlibat dalam menganjurkan Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober yang lalu.

Keputusan ini juga sekali gus membuktikan pengurusan universiti berkenaan bersetuju dengan graduan tersebut bahawa Kongres Maruah Melayu adalah satu perhimpunan yang rasis.

‘Tahniah’ Wong Yan Ke. Anda hebat. Anda seorang sahaja telah berjaya mengalahkan VC universiti anda.

‘Tahniah’ kerana anda seorang sahaja sudah memadai berjaya menunjukkan pada rakyat Malaysia bahawa Kongres Maruah Melayu adalah sesuatu salah dan rasis.

‘Tahniah’ juga pada anda kerana cukup dengan anda seorang sahaja sudah mampu untuk mengalihkan perhatian dan ‘menutup mulut’ puluhan pemimpin Melayu yang begitu berkobar-kobar mempertahankan bangsa Melayu di dalam kongres tersebut.

Pada pandangan rakyat umum, strategi anda telah berjaya dan mereka yang menentang anda semuanya telah gagal.

Sekarang kebiadapan anda telah menjadi kebanggaan dan idola ramai orang yang menyokong anda.

Anda sebenarnya tidak memerlukan skrol ijazah anda lagi. Ijazah itu sudah tiada nilai pun pada anda.

Sebab jika berminat menjadi ahli politik di negara ini, anda tidak perlukan sekeping ijazah.

Elok jangan diambil dulu skrol ijazah anda. Biarkan sahaja di kampus. Tunggu dulu. Datang ambil nanti bila anda sudah menjadi Menteri Pendidikan Malaysia. – 20 Oktober 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UKM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

1 COMMENT

  1. Waktu tu pemerintahan regim Bn …sekarang regim Pakatan ….fikir² la….semua politik tikus perbaiki labu. Waktu mcm ni mana dia pejuang² Melayu NGO Melayu …sekarang baru nak sedar sbb dah tak wang.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.