WALAUPUN pihak berkuasa giat membanteras ancaman pengaruh pengganas LTTE di negara ini, ada pihak masih cuba mencabar kedaulatan dan keselamatan negara, kata Datuk Aliff Tafid.

Prihatin dengan perkembangan yang membimbangkan itu, Ketua Bahagian Parti IKATAN  Bandar Tun Razak itu mendedahkan tindakan sekumpulan individu yang sengaja mencetuskan provokasi dengan mengibarkan bendera LTTE di tempat terbuka.

Katanya, kejadian itu berlaku di padang bola sepak Flat Sri Johor di Bandar Tun Razak baru-baru ini.

“Dalam sebulan ini, rakyat Malaysia disajikan dengan berita dan tangkapan mengenai beberapa individu yang terlibat dengan LTTE termasuk yang bergelar ahli politik.

“Parlimen Bandar Tun Razak adalah salah sebuah lokasi yang dihidu sejak 3 hari lepas mengenai kumpulan LTTE apabila ada sekumpulan yang tidak dikenali cuba membuat provokasi dengan mengibar bendera LTTE di tengah padang bola sepak Flat Sri Johor,” dedahnya kepada NTHQiBord.

Aliff menggesa pihak berkuasa untuk membendung hal itu sebelum ia menjadi lebih parah dan situasi menjadi tidak tenteram hanya disebabkan ideologi yang sempit.

Beliau juga menyatakan kesediaan Parti IKATAN Parlimen Bandar Tun Razak untuk bekerjasama dengan polis dengan menyalurkan maklumat terkini mengenai hal jenayah dan yang berkaitan demi kesejahteraan masyarakat di sekitar kawasan itu.

“Saya juga ingin menekankan dan menggesa kepada pimpinan dan jawatankuasa Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) supaya terus melaksanakan tanggungjawab untuk mempertahankan masyarakat dari terus dibelenggu dengan ideologi kotor LTTE.

“Jangan sekadar menerima elaun setiap bulan tetapi tanggungjawab sebagai pengerusi MPP tidak dilaksanakan.

“Saya percaya MPP sejak akhir-akhir ini telah melaksanakan tugas dengan baik apabila sentiasa mendekati masyarakat dengan menjalankan pelbagai program di zon-zon sekitar kawasan Parlimen.

“Rakyat juga perlu mempunyai prinsip dengan membantu dan menyokong polis dalam membanteras kumpulan pro pengganas LTTE ini,” katanya. – NTHQiBord, 20 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.