KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) tidak pernah melantik Mega Management Consultancy Sdn. Bhd. untuk menjalankan pengumpulan data maklumat dokumentasi pekerja asing, warga asing atau mana-mana individu yang mempunyai masalah kerakyatan di Sabah.

KDN menegaskan, kad dokumentasi yang dikeluarkan syarikat tersebut tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada warga asing.

Jelas kementerian itu dalam kenyataannya, ia juga sama sekali tidak akan digunapakai dalam penentuan atau pemberian status kerakyatan oleh agensi kerajaan.

Susulan itu, KDN berkata, satu laporan polis telah dibuat bagi menafikan kaitan kementerian dalam kegiatan pengumpulan data dan pengeluaran kad dokumentasi tersebut.

“KDN telah menerima maklumat berhubung kaitan beberapa syarikat dan pertubuhan mengumpulkan maklumat, mendaftar dan mengeluarkan kad dokumentasi kepada warga asing terutamanya kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

“KDN juga menerima aduan daripada pihak majikan dan orang ramai yang keliru dan merasakan telah ditipu oleh agen-agen syarikat yang melakukan kegiatan mendaftar kad dokumentasi dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu tetapi kad tersebut tidak berfungsi seperti yang dijanjikan,” katanya.

KDN mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang bentuk pembayaran kepada mana-mana pihak yang mendakwa membuat program bancian atau mendaftarkan kad dokumentasi kepada warga asing itu.

Tambahnya, Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 ada memperuntukkan kesalahan individu yang didapati melindungi PATI di Malaysia di mana pesalah bagi perkara itu boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 bagi setiap PATI yang dilindungi atau penjara tidak lebih lima tahun serta boleh dikenakan sebatan. – 3 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.