MENARIK sungguh perkembangan PRK Tanjung Piai.

Parti utama yang bertanding di situ ialah PPBM dari PH dan MCA dari BN, namun PAS pula yang menjadi sasaran serangan politik.

Bermula pembentukan Muafakat Nasional PAS dan UMNO, serangan politik dihala kepada PAS kononnya menjadikan Muafakat ini sebagai Toliban di Malaysia.

Tidak kurang juga yang menganggap bahawa muafakat ini adalah rasis apabila mengangkat tema penyatuan ummah.

Kononnya muafakat ini akan menyingkirkan golongan non muslim.

Apabila BN mengisytiharkan calon mereka ialah Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng dari MCA, sekaligus membuktikan bahawa Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO tidak pernah meminggirkan non muslim, maka mereka terpaksa menukar tune dengan naratif baru bahawa PAS sudah hilang prinsip kerana menyokong calon MCA yang menolak hudud.

Persoalannya, PH itu sendiri bila pula mereka sokong hudud ? Pakatan yang didominasi oleh DAP itu sudah jelas dan popular menentang hasrat perlaksanaan undang-undang syariat termasuklah menentang urusan umat Islam untuk pemerkasaan sistem dan pentadbiran Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta 355.

Tahniah Dr Wee Jeck Seng, kerana anda menjadi calon yang selesa bertanding dengan serangan politik yang sangat minima justeru serangan-serangan utama PH dihalakan kepada PAS tanpa mengira siang dan malam.

PAS mendepani situasi ini dengan positif dan akan menjadikannya sebagai satu peluang keemasan untuk menyampaikan dakwah dan menjelaskan dasar perjuangan PAS meskipun bukan PAS yang bertanding di Tanjung Piai, ekoran mereka hanyalah mensasarkan PAS.

Kini semua mata dan telinga difokuskan kepada PAS. Bagaimana tindakan PAS ? Apakah PAS akan hadir ke Tanjung Piai untuk menyokong calon MCA ? Apakah kenyataan rasmi PAS ? Malah liputan dan capaian berita mengenai PAS hampir menenggelamkan calon dan parti yang bertanding.

Apakah ini semua, kalau tidak ia adalah Aura PAS. Aura yang menghasilkan gelombang dan getaran yang boleh membengkakkan jantung hati mereka.

Kini ia menjadi kesempatan terbaik buat PAS memberi penjelasan demi penjelasan mengenai prinsip dan sikap PAS serta perkembangan semasa menurut sudut pandang PAS sebagai sebuah parti atau jamaah yang memperjuangkan Islam, sementara semua mata, telinga dan media menumpukan perhatian kepada PAS.

Nantikan siri-siri penerangan dan penjelasan dari pimpinan-pimpinan PAS sepanjang musim PRK ini khasnya. –  3 November 2019.

Sila duduk, jangan tidur!

NASRUDIN HASSAN TANTAWI
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.