PELBAGAI alasan tidak masuk akal diberikan pihak berkuasa negara terbabit, termasuk mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low sudah melakukan pembedahan wajah menyerupai `beruang’, kata Ketua Polis Negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak berkuasa negara yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian ahli perniagaan itu enggan memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk dalam menyalurkan maklumat diperlukan.

“Antara alasan diberikan mereka, termasuk kononnya dia (Jho Low) sudah mengubah rupanya dengan menjalani pembedahan muka dan menyerupai beruang.

“Muka dia dikatakan sama seperti muka beruang. Saya tidak tahulah, tetapi kononnya dia sekarang sudah mengubah rupa bentuk mukanya,” katanya.

Kenyataan Abdul Hamid sebagai mengulas laporan akhbar tempatan Cyprus, Politis, mengenai keberadaan ahli perniagaan itu di negara terbabit, selain didakwa turut memiliki pasport negara kepulauan di Mediterranean itu selepas skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terbongkar.

Abdul Hamid ketika mengulas lanjut, berkata ahli perniagaan itu dipercayai masih berada di negara persembunyiannya, namun pihak berkuasa negara terbabit mendakwa sukar mengesannya atas alasan sudah mengubah wajahnya.

“Ada ketikanya dia berjalan akan menyerupai seekor Tambadau (Seladang). Jadi, bila kita lihat dari belakang, begitulah rupanya. Adakah logik alasan diberikan ini (oleh pihak berkuasa negara itu),” katanya. – 4 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.