LIM Guan Eng seperti mahu mempertikaikan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras aktiviti keganasan terutamanya  kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Semalam, Setiausaha Agung DAP itu meminta PDRM memberi penjelasan berhubung laporan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenai terorisme di Malaysia pada 2018 yang tidak menyebut aktiviti-aktiviti yang mengaitkan kumpulan pengganas LTTE.

Sebaliknya, Guan Eng berkata laporan itu hanya menyebut Malaysia sebagai sumber dan lokasi transit bagi kumpulan pengganas seperti Islamic State (IS), kumpulan Abu Sayyaf, Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI).

“Dalam laporan itu, kerajaan AS langsung tidak menyentuh mengenai aktiviti-aktiviti LTTE.

“Kebimbangan orang awam hanya meningkat selepas pihak polis mengambil tindakan terhadap tertuduh yang didakwa mempunyai hubungan dengan LTTE, sedangkan LTTE kini sudah lumpuh dan tidak lagi wujud berbanding kumpulan pengganas yang masih aktif seperti IS, Abu Sayyaf, Al-Qaeda dan JI,” katanya.

Bagaimanapun Guan Eng berkata, DAP tetap mengalu-alukan jaminan diberikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk menyiasat dakwaan tertuduh yang didakwa didera dan dipaksa mengaku salah ketika ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). – 3 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.