MOHAMAD Sabu berkata Kementerian Pertahanan akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Peguam Negara sebelum mengambil langkah-langkah seterusnya bersabit pembelian enam helikopter yang dibeli pentadbiran lepas bernilai RM300 juta.

Beliau berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan Peguam Negara bersabit pembelian helikopter berkenaan yang masih belum diterima kerajaan sehingga kini.

“Kita akan buat keputusan paling singkat untuk mendengar nasihat AG (Peguam Negara) kenapa helikopter ini tidak sampai sehingga hari ini.

“Kita akan tunggu pandangan AG, perlu ambil tindakan apa-apa (yang akan dibuat nanti) berdasarkan pandangan AG dan kementerian akan buat keputusan berdasarkan kepada pandangan itu,” katanya.

Beberapa hari lepas, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kerajaan mungkin perlu ke mahkamah berhubung enam helikopter yang dibeli pentadbiran lepas bernilai lebih RM300 juta yang belum dihantar.

Beliau berkata, sekiranya helikopter berkenaan dihantar dan tentera enggan menggunakannya, perbincangan akan diadakan bersama kementerian lain mengenai penggunaannya.

Helikopter itu sepatutnya dihantar dalam dua fasa iaitu dua buah dihantar pada Julai 2017 dan empat lagi dijadual dihantar pada Disember 2018.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, kerajaan terdahulu telah membayar RM112 juta iaitu 35 peratus daripada harga keseluruhan, namun helikopter berkenaan yang sepatutnya diterima pada November 2017 masih belum sampai.

“Bukan kita tidak mahu menerima helikopter berkenaan tetapi sebenarnya helikopter tersebut masih belum diterima kita sehingga hari ini,” katanya. – 4 November 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.