TENTERA Pakistan menyuarakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Imran Khan walaupun beliau menerima tekanan daripada puluhan ribu penunjuk perasaan yang menuntut pengundurannya.

Imran diberi tempoh 48 jam untuk berbuat demikian yang tamat hari ini.

“Kami percaya dengan undang-undang dan Perlembagaan. Kami berikan sokongan kepada kerajaan yang dipilih secara demokratik dan bukan pada mana-mana pihak,” tegas jurucakap tentera, Mejar Jeneral, Asif Ghafoor.

Jumaat lalu, pembangkang mendesak bekas bintang kriket bersama pentadbirannya meletak jawatan dalam tempoh dua hari.

Pihak pembangkang mendakwa kerajaan Khan sebagai tidak sah dan disokong tentera yang telah memerintah Pakistan separuh daripada sejarah negara itu dan turut menentukan dasar luar dan keselamatan di Islamabad.

Tentera bagaimanapun menafikan mereka campur tangan dalam politik seperti didakwa pemimpin kumpulan protes itu, Fazl-ur-Rehman dari parti konservatif, Jamiat Ulema-e-Islam (JUI).

Sebelum ini, Rehman mengancam untuk mencetuskan kekacauan jika kerajaan tidak berundur namun pendirian itu berubah apabila beliau menegaskan hanya akan membuat keputusan seterusnya apabila demonstrasi duduk bantah selama dua hari itu gagal mencapai matlamat mereka.

Ketika ini kawalan keselamatan turut dipertingkatkan di sekitar ibu negara sebagai langkah berjaga-jaga. – AGENSI, 4 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.