PENYOKONG UMNO perlu membuang perasaan kecewa dan kecil hati selepas parti Melayu itu tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kata Datuk Jefridin Atan.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai itu berkata, perasaan kecewa itu tidak wajar ada pada diri orang-orang UMNO yang menjadi pengundi di kawasan Parlimen berkenaan.

“Kalau ikutkan kecewa, saya orang pertama yang kecewa sebab saya dicalonkan dalam pertimbangan calon.

“Tetapi oleh kerana telah diperjelaskan dan kita mencari calon yang terbaik, saya sanggup turun penamaan dan kita membuat persiapan serta bergerak dari PDM ke PDM (Pusat Daerah Mengundi) untuk memastikan sokongan padu itu kita berikan kepada calon Barisan Nasional,” katanya menurut laporan MalaysiaGazzete semalam.

Sebaliknya kata Jefridin, ia patut diterjemahkan kepada Kerajaan Persekutuan yang tidak menunaikan janji, sebagaimana yang dilafaz pada Pilihan Raya Umum (PRU14) 9 Mei tahun lepas.

Katanya, jika rakyat terutama penyokong-penyokong UMNO mahu menolak Pakatan Harapan (PH) mereka perlu bersatu bagi menambah kekuatan kepada BN agar mencapai kemenangan pada PRK tersebut.

Sebelum ini, nama Jefridin disebut-sebut menjadi calon pada PRK berkenaan.

Manakala, satu lagi nama yang turut dikatakan dalam senarai calon ialah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam pada itu, Jefridin berpesan agar jentera BN terus berusaha bagi memastikan kemenangan dicapai oleh calon mereka.

Ujarnya, langkah itu penting jika mereka mahu melihat kerajaan yang ada pada hari ini ditolak setelah dianggap zalim kepada rakyat. – 4 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.