SEKOLAH vernakular dapat menerapkan nilai toleransi dalam kalangan pelajar selain meningkatkan perpaduan, kata Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy.

Oleh itu, pemimpin DAP itu bertegas mahu meneruskan sekolah vernakular di negeri itu selepas mendapati banyak faedah daripada sekolah aliran tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri juga serius meneruskan peruntukan kepada sekolah berkenaan.

Tambahnya, kerajaan negeri tidak bersetuju pendapat sesetengah pihak bahawa sekolah vernakular menjadi penghalang kepada perpaduan masyarakat Malaysia.

“Berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri, populasi murid sekolah vernakular di Pulau Pinang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu seramai 3,552 orang pelajar selain Cina dan India.

“Ini menunjukkan sekolah vernakular antara platform bagi pembangunan semangat perpaduan rakyat berbilang bangsa di Pulau Pinang dan Malaysia,” katanya.

“Pada tahun ini, kerajaan negeri menyalurkan RM8.4 juta kepada sekolah mubaligh, Cina, Persendirian dan RM2 juta kepada sekolah Tamil.

“Kerajaan negeri turut memberi perhatian khusus kepada pendidikan agama Islam menerusi peruntukan tahunan sebanyak RM2.5 juta bagi SAR.

“Bantuan ini disalurkan melalui maahad tahfiz, tadika Islam dan sekolah pondok. Kita harap sekolah di Pulau Pinang dapat merealisasikan hasrat kerajaan negeri melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, berdaya saing serta mempunyai sahsiah yang tinggi untuk terus memacu pembangunan Pulau Pinang,” katanya. – 5 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.