NAMPAKNYA ramai rakyat Malaysia yang tak tahu.

YB Menteri Sumber Manusia baru umum rupa-rupanya masih ada 640,000 kerja kosong di negara ini.

Mungkin dengan pengumuman ini isu setengah juta pengangguran dapat diselesaikan.

Begitu juga dengan isu pembuangan pekerja hampir 24,600 orang sehingga September tahun ini.

Saya tak pernah tahu ada sebegitu banyak kerja kosong di negara ini.

Semua data yang saya baca menunjukkan Malaysia berhadapan dengan krisis peluang pekerjaan.

Ratusan ribu graduan menganggur. Puluhan ribu pembuangan kerja.

Rupa- rupa ada 640,000 kerja kosong yang rakyat tak minat. Apa sebenarnya berlaku? Maklumat mana yang betul? Sedangkan kisah 640,000 kerja kosong tidak pernah dimaklumkan sebelum ini.

Pelik sungguh. Kalau ‘betullah’ memang ada 640,000 kerja kosong yang belum diisi, mengapa pula dalam bajet 2020 kerajaan masih nak sediakan peruntukan sehingga RM6 billion untuk wujudkan 350,000 kerja baru untuk lima tahun akan datang?

Kalau sudah ada 640,000 kerja kosong, mengapa kerajaan nak wujudkan program Malaysiakerja seperti skim ‘GraduanKerja’, skim ‘WanitaKerja’ dan ‘WatanKerja’ dan ‘PerantisKerja’ sampai sediakan peruntukan Rm6 billion.

Saya jadi tak faham.

Adakah Kementerian Kewangan tak dapat maklumat yang lengkap daripada Kementerian Sumber Manusia sebelum penyediaan bajet?

Seperti mana juga Menteri KPKT tak dapat maklumat berkaitan dasar penurunan had minimum untuk warga asing membeli rumah yang dibentangkan di dalam Bajet 2020 oleh Menteri Kewangan?

Sepatutnya kalau betul ada kerja kosong 640,000, kerajaan fikirkan bagaimana nak penuhkan dulu kekosongan kerja tersebut.

Tak perlu sampai nak sediakan peruntukan RM6 billion untuk selesaikan isu pengangguran di negara ini. – 6 November 2019.

ANUAR AHMAD,

Pensyarah UKM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.