SATU laporan polis telah dibuat terhadap Datuk Seri Salahuddin Ayob sebagai tindakan mendesak pihak berkuasa menyiasat kenyataannya yang didakwa berunsur boleh mengancam perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini, lapor MalaysiaGazzette.

Sayap pemuda Barisan Nasional Johor hari ini tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian pukul 5.30 petang tadi bersama Ketua Pemuda MCA Johor, Liang Tian Soon, Ketua Pemuda MIC Tanjung Piai, A. Logeswaran dan Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Naufal Mahfudz.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tanjung Piai, Shahrulzaman Ibrahim berkata, dia telah melihat satu perkongsian klip video dalam FB Ops Johor yang mengandungi ucapan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu dalam perjumpaan tertutup bersama jentera di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chu di Kukup baru-baru ini.

“Kata-kata beliau berbaur perkauman menghasut kebencian dan boleh mengancam kestabilan kaum di negara ini.

“Antara kata-kata dia yang berbaur kebencian ialah berbunyi begini;”Saya tahu ada marahkan PH (Pakatan Harapan) tapi ingat kalau bagi balik BN (Barisan Nasional) berkuasa ini country akan huru-hara.

“Kita boleh berniaga, sekolah anak takda..tembak sana sini, nak berniaga tidak boleh nak ke laut pun tidak boleh.”

Menurut Shahrulzaman, video itu dikongsi oleh lebih 1,200 orang dan harus disiasat kerana salah di bawah Seksyen 4(a)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menyebarkan perasaan jahat atau permusuhan, katanya kepada pemberita di hadapan IPD Pontian hari ini.

Tambah beliau, kenyataan Salahuddin sebagai seorang penjawat awam adalah salah dan meminta polis menyiasat dan bertindak terhadap kenyataan berbaur hasutan itu.

Ditanya sama ada insiden itu telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), katanya, pasukannnya akan mengemukakan video beserta aduan kepada SPR untuk siasatan dan tindakan.

“Ia tular dalam FB banyak dan kita tak hendak apa yang diucapkan salahuddin ini boleh menyebabkan perbalahan antara kaum dan semasa PRK ini kita tidak mahu tindakan agresif atau propaganda atau provokasi sebab mahu PRK ini berjalan dengan baik dan sihat sebab.

“Kita mahu tunjukkan kepada luar yang dengan pimpinan yang ada dalam BN dan PH walaupun perbezaan politik berkempen dengan cara yang sihat,” katanya lagi.

Pada itu Ketua Pemuda BN Johor, Mohd. Hairi Mohd. Shah pula menjelaskan, apa yang dikatakan oleh Salahuddin adalah salah sebab UMNO meletakan calon MCA bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menunjukkan satu bentuk solidariti dan permuafakatan.

“Kata kata Salahuddin itu saya rasa bersalah dan saya berharap pihak polis dan SPR ambil tindakan tegas kerana kata kata beliau ini boleh menyebabkan keadaan huru-hara,” katanya.

Dalam pada itu Ahmad Naufal pula menegaskan, kata-kata Salahuddin menyebabkan PAS tergores hati sambil mempersoalkan apa salah PAS sehingga mendakwa Muafakat Nasional boleh menyebabkan huru-hara. – 6 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.