KERAJAAN DAP Pulau Pinang mendakwa sekolah vernakular di negeri itu memberi banyak faedah daripada sekolah aliran lain.

Namun bagi seorang pakar akademik Cina, sistem pendidikan sekarang dilihat mewujudkan pengasingan etnik di negara ini.

Prof Dr Teo Kok Seong berkata, perpaduan hanya dapat direalisasikan jika semua sekolah jenis kebangsaan, kebangsaan dan agama digabungkan.

Jelas beliau, itu adalah cara terbaik untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Felo utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, ini kerana sistem sekolah vernakular yang diamalkan sejak dahulu lagi menghalang pembentukan identiti nasional yang perlu didokong oleh anak bangsa.

“Banyak kejayaan yang kita boleh perolehi dari sekolah aliran ini terutamanya dari perpaduan serta pembentukan identiti nasional kerana murid-murid dalam satu acuan sama,” katanya menurut Sinar Harian.

Kok Seong berkata, cadangan untuk melaksanakan sistem satu aliran sepatutnya disokong oleh seluruh masyarakat Malaysia.

Jelasnya, mereka yang tidak bersetuju dengan sistem sekolah satu aliran sebagai antiperpaduan dan sudah tiba masanya sistem pendidikan negara perlu diubah untuk memperkukuhkan perpaduan kaum.

“Mereka menentang kerana kurang kepercayaan antara kaum kerana berpendapat jika baik untuk kaum Melayu, mungkin buruk untuk kaum Cina dan India, begitu juga sebaliknya.

“Sikap ini timbul kerana kita tidak bercampur dengan satu sama lain sejak di bangku sekolah. Orang Melayu ke sekolah kebangsaan atau agama manakala Cina dan India ke sekolah jenis kebangsaan.

“Bila mereka masuk tingkatan satu di sekolah kebangsaan, mereka tidak dapat bercampur, ia sudah terlambat dan mereka kekal terasing,” katanya. – 7 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.