HAYAT Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya bergantung kepada usia Pengerusinya, Tun Mahathir Mohamad, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib Presiden UMNO itu berkata, ramai daripada anggota di dalam Bersatu akan melompat selepas Dr Mahathir tiada lagi.

“Bersatu bergantung kepada PM (Perdana Menteri). Pengundi kena lihat dan fikirkan apa jadi kepada Bersatu setelah ketiadaan Tun Dr Mahathir.

“Sebahagian besar anggota parti akan melompat,” katanya menurut laporan MalaysiaGazzete.

Mohamed Khaled mendakwa, beliau tidak terperanjat sekiranya perkara itu berlaku kerana mereka yang berada dalam Bersatu bukanlah ahli yang setia dan sememangnya mempunyai kepakaran untuk bertindak sedemikian.

Malah, Mohamed Khaled mendakwa, anggota Bersatu yang melompat mempunyai pemikiran yang singkat dan hanya mementingkan diri mereka sendiri.

“Satu perkara sangat jelas, bila Tun Mahathir tiada, bukan Bersatu jadi (PM) Perdana Menteri. Tiada pemimpin Bersatu upaya kekalkan Bersatu lepas ketiadaan PM,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, pengundi di kawasan Tanjung Piai tidak perlu meletakkan harapan kepada parti yang sudah tidak lagi mempunyai harapan selepas ketiadaan Dr Mahathir.

Beliau turut mengajak pengundi di Tanjung Piai supaya berfikir tentang siapakah yang layak untuk menggantikan Perdana Menteri selepas Ahli Parlimen Langkawi. – 9 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.