TIADA perbuatan ‘kuda menguda’ atau memperguna antara satu sama lain dalam Pakatan Harapan (PH), tegas Mohamad Sabu.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata parti dalam PH iaitu PKR, DAP, Bersatu dan AAMANAH mempunyai kerjasama yang erat dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat dan beliau yakin hubungan itu akan kekal kukuh sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sebarang isu termasuk berbeza pandangan kita selesai dalam mesyuarat sama ada politik dalam Majlis Tertinggi PH atau kerajaan dalam Kabinet, setelah dibincang, diambil keputusan dan bila Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) umum, itu keputusan kita bersama.

“Tidak sukar (bekerjasama), cuma berbeza pandangan adalah perkara biasa yang akhirnya keputusan itu dibuat bersama, saya yakin melalui kerjasama ini PH akan menang PRU15 nanti kerana kita telah memberi khidmat kepada rakyat,” katanya menurut Bernama.

Ketika berucap merasmikan konvensyen itu, Mohamad menyeru rakyat negara ini menyokong pakatan serta pemimpin yang mampu menjaga rakyat dengan baik tanpa mengira kaum.

Beliau juga mengingatkan rakyat khususnya anggota parti Amanah supaya tidak mempercayai hasutan yang dimainkan pihak pembangkang terutama yang berbaur perkauman.

Mohamad juga mengingatkan rakyat negara ini supaya menghargai pengorbanan anggota keselamatan dalam memastikan keamanan di negara ini kerana tanpa pengorbanan itu, rakyat tidak akan dapat menikmati keselesaan hidup seperti sekarang. – 10 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.