Kerajaan PAKATAN HARAPAN yang melaungkan kebebasan bersuara dengan “tagline” DARE TO SPEAK OUT oleh Tun Dr Mahathir Mohammad sebelum PRU14 adalah suatu bentuk tahyul yang mengerikan.

Saya pernah diberi surat penghargaan oleh Tun Dr Mahathir Mohammad pada Ogos 2015 kerana berani bersuara menentang Perdana Menteri ke 6 ketika itu, Dato Seri Najib Razak.

Saya telah menggunakan media sosial untuk melancarkan serangan bertali arus terhadap Perdana Menteri, malah saya telah memfailkan saman sivil ke atas beliau ketika itu tetapi tidak pernah walau sekalipun Facebook saya di sekat di bawah pentadbiran BARISAN NASIONAL.

Tidak pernah walau sekali pun suara saya disekat oleh SKMM dan pihak berkuasa PDRM juga tidak pernah memanggil saya ke balai polis sepanjang dua tahun saya memerangi Perdana Menteri sejak 2015 hingga 2017.

Kini apabila saya meninggalkan PAKATAN HARAPAN dan bertindak mengkritik Tun Dr Mahathir Mohammad dan kerajaan PAKATAN HARAPAN, media sosial saya termasuk FACEBOOK PAGE telah disekat lebih 5 kali dalam tempoh 2 tahun.

Pagi ini FACEBOOK saya disekat sekali lagi untuk tempoh 30 hari.

Ironiknya, mulut saya ditutup, tangan saya diikat, kebebasan bersuara saya disekat pada hari keputusan mahkamah berkaitan kes SRC melibatkan Dato Seri Najib akan diumumkan.

Saya percaya ianya juga berhubung kait dengan kempen PRK Tanjung Piai yang sedang rancak di media sosial.

Bagi aktivis politik pembangkang, media sosial adalah nadi kotak suara kami.

Secara peribadi saya menganggap tindakan menyekat kebebasan bersuara saya adalah umpama menghantar saya ke penjara.

Saya percaya FACEBOOK MALAYSIA kini dikawal dan menjalin hubungan istimewa dengan kerajaan PAKATAN HARAPAN.

Saya menggesa kerajaan PAKATAN HARAPAN khususnya pihak SKMM supaya lebih berani berdepan dengan kritikan pembangkang.

Jika PAKATAN HARAPAN berani menjatuhkan kerajaan BARISAN NASIONAL, mereka harus juga berani berhadapan dengan pembangkang apabila berkuasa.

Untuk mempertahankan hak kebebasan bersuara, saya sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman ke atas pihak FACEBOOK MALAYSIA. – 11 November 2019.

ANINA SAADUDIN.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.