SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak sebagai badan berkecuali dan bukan badan dikuasai oleh kerajaan, kata Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pembangkang itu mempersoalkan ‘peraturan baharu’ daripada SPR kepada calon bertanding bahawa kempen dari rumah ke rumah perlu mendapat permit polis.

“Apa yang nak dilakukan SPR mestilah berdasarkan undang-undang dan akta. Jadi saya tidak faham kenapa perkara seperti ini timbul di PRK (Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai).

“Adakah kerana pihak PH nampak mereka mempunyai jalan yang sukar untuk menang, jadi akhirnya SPR membantu mereka untuk menyusahkan parti-parti pembangkang seperti BN (Barisan Nasional) dan sebagainya,” katanya menurut Sinar Harian.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun mengingatkan kempen yang dibuat dari rumah ke rumah perlu mendapat permit daripada polis kerana ia juga merupakan suatu bentuk kempen.

Katanya, program tinjauan mesra (walkabout) yang turut dianggap sebagai kempen bergerak perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

Beliau berkata, semua parti atau calon terlibat diingatkan agar mematuhi setiap peraturan ditetapkan bagi aktiviti berkempen khususnya melibatkan permohonan permit kempen.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bera itu tidak menolak kemungkinan BN akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya SPR bertindak di luar undang-undang dalam isu tersebut.

“Saya tidak fikir BN akan lemah semangat dan kita akan tengok dari segi undang-undang. Kalau SPR bertindak di luar undang-undang mungkin kita akan cabar tindakan ini di mahkamah dan sebagainya.

“Walaupun tidak sekarang tapi kita melihat dari segi kemungkinan mencabar tindakan SPR tersebut,” katanya. – 13 November 2019.

1 COMMENT

  1. This has never happened in Malaysia. It sounds ridiculous. I hope BERSIH and other human rights organization will protest on this law. PH should practice mature politics. It seems PH is so desperate to win the by-election in Tanjung Piai

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.