TIDAK pernah berlaku dalam sejarah PKR apabila ada pihak, selain Timbalan Presiden PKR dijemput untuk merasmikan sayap-sayap parti, kata Ketua Wanita PKR, Haniza Talha.

Beliau berkata tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia yang menjemput Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk merasmikan Kongres Nasional AMK pada 6 Disember ini disifatkan sebagai melanggari tradisi parti itu.

“Sebab itu memang amalan setiap tahun, tak pernah lagi selain daripada Timbalan Presiden, sebelum ini Syed Husin Ali, beliau yang merasmikan majlis perasmian kongres.

“Sejarah (PKR) dari awal penubuhan sehingga sekarang dan itulah masa kita nak dengar orang nombor dua parti berucap kepada sayap,” katanya.

Haniza juga mempersoal tindakan AMK Malaysia yang bertegas mahu Wan Azizah merasmikan kongres sayap itu atas alasan Mohamed Azmin gagal memberikan pengesahan kehadiran.

“Dia kena ikut hierarki struktur parti organisasi, kalau dalam organisasi parti, tidak ada penasihat, tidak ada jawatan penasihat.

“Kalaupun dia rasa Timbalan Presiden tidak memberi jawapan dan sebagainya, saya rasa itu bukan isunya. Pemimpin lain ada lagi, Naib Presiden yang lain.

“Itu bukan amalan parti, cuba tanya parti politik lain, ada tak penasihat yang merasmikan kongres? Tak ada kan,” katanya.

Haniza turut menyifatkan tindakan AMK Malaysia itu juga sebagai sesuatu yang memalukan susulan pelanggaran tradisi itu.

“Amalan ini jadi tradisi parti sejak 20 tahun lalu sebaliknya AMK yang buat keputusan (rasmi berasingan) dan bertentangan dengan konvensyen parti

“Saya nampak perkara ini amat memalukan sehingga pemimpin veteran menegur Ketua AMK Malaysia supaya ambil Timbalan Presiden sebagai perasmi.

“Sebab itu memang tradisi parti dan dibuat secara serentak dengan Wanita PKR yang akan mengukuhkan parti,” katanya lagi.

Khamis lalu, 14 Ketua AMK Negeri menyokong penuh ketetapan Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia pada 20 Oktober 2019 yang memutuskan untuk mengundang Dr Wan Azizah sebagai perasmi kongres berkenaan.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membatalkan jemputan kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai perasmi kongres itu pada saat akhir.

Tindakan itu dibidas Timbalan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Hilman Idham yang menyifatkan tindakan Saifuddin mencermin dan menguatkan desas-desus bahawa PKR sedang dilanda krisis kepimpinan.

Kenyataan Muhammad Hilman itu telah mendapat sokongan 21 daripada 25 ahli pimpinan AMK Malaysia.

Kongres Nasional AMK PKR akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), pada 6 Disember ini. – 16 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.