KEMPEN Utamakan Produk Muslim (BMF) berjalan dengan baik dan lancar serta masih diteruskan, kata Presiden UMMAH, Aminuddin Yahaya.

Kenyataannya itu sekali gus menolak dakwaan bahawa kempen BMF kini dipandang sepi seperti didakwa sesetengah pihak.

Kata beliau lagi, kempen BMF kini semakin berjaya dan mendapat sokongan dari ramai pihak dan mempunyai pengikut tersendiri di aplikasi BMF yang lebih dikenali sebagai ABATA.

“Kita tidak senyap, kita masih bergerak dan tengah berjalan lagi. Cuma sekarang, pihak pemberita sedang sibuk dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tg Piai, jadinya pemberita tidak ambil maklum perkara ini.

“Lagi pula, media ini dikawal oleh pihak kerajaan, kadang-kala tidak menaikkan berita ini kerana kerajaan tidak mahu kempen BMF ini berjaya sebab ia dipengaruhi oleh pihak politik. Jadi apa-apa yang tidak mendatangkan kebaikan kepada mereka, mereka tidak akan siarkan.

“Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, saya baru rasmikan BMF di Raub, Pahang dan Insya-Allah dalam masa terdekat akan buat di Kelantan dan Terengganu secara besar-besaran.” katanya menurut Ismaweb.

Aminuddin berkata, BMF dijangka membuka kedai di setiap 600 masjid di negeri Pahang yang akan diumumkan kelak.

Pada masa sama, bercakap mengenai sesetengah pihak menggunakan laman web rasmi BMF mempromosikan barangan luar tempatan, beliau berkata, isu berkenaan akan dikawal dan ditapis oleh pihaknya.

“Kempen ini berjalan dengan lancar. Cuma, ada satu dua pihak menggunakan lawan web kita untuk jual produk-produk itu, namun, pihak kita akan tapis dari masa ke semasa.” katanya.

Terdahulu, UMMAH dengan kerjasama Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) dan Abata adalah penggerak utama dalam Kempen Membeli Produk Muslim kepada masyarakat Islam di negara ini.

Kempen ini bertujuan membantu meningkatkan pendapatan peniaga Islam dan memberi alternatif lain kepada masyarakat Islam. – 16 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.