KECOH di aplikasi WhatsApp apabila suara mirip Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming marah rakan separtinya, Paul Yong kerana kembali bertugas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Paul Yong terpalit kes rogol dan kini sedang dibicarakan selepas didakwa merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Walaupun pada awalnya akur untuk bercuti sepanjang perbicaraan tetapi EXCO DAP itu mengumumkan untuk kembali ke sidang DUN pada Jumaat lalu.

Paul memberi alasan bahawa Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi kebenaran kepadanya untuk kembali bertugas sebagai wakil rakyat.

Namun berdasarkan rakaman audio yang tersebar sejak beberapa hari lalu, suara mirip Kor Ming itu mendakwa Paul tidak mendapat restu DAP untuk kembali bertugas.

Suara mirip Kor Ming itu juga melabel Paul sebagai besar kepala kerana menjadi ahli DAP dan menerima gaji DAP.

“Dia nak kembali bertugas tanpa kelulusan DAP. Saya tidak mahu sebut siapa tetapi kamu semua tahu siapa yang saya maksudkan,” kata suara dalam rakaman itu.

Turut disertakan dalam rakaman audio itu adalah terjemahan bahasa Melayu setiap ayat yang dinyatakan pemilik suara itu.

Jika benar suara itu milik Kor Ming, Perak bakal menyaksikan pertelagahan dalam kerajaan negeri serta pertembungan antara beberapa kumpulan termasuk DAP dan BERSATU.

Seperti yang sedia maklum, Ahmad Faizal terpalit isu mengutuk DAP pada kempen PRK Tanjung Piai baru-baru ini.

Malah sebelum itu, ada gerakan dari DAP yang mahu menjatuhkannya sebagai Menteri Besar yang didalangi oleh Aziz Bari berdasarkan video yang tersebar di media sosial.

DAP Perak juga berdepan krisis dalaman apabila wujud dua kem iaitu Kor Ming (Pengerusi DAP Perak) dan satu kumpulan lagi diketuai oleh M Kula Segaran (Naib Pengerusi DAP Pusat).

Hal itu didedahkan oleh Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad
pada Oktober lalu.

Jika dibiarkan berlanjutan, tidak mustahil Perak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu melainkan ada berlaku kerjasama politik baharu antara parti dalam PH dan BN. – 18 November 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.