Rakyat sudah jemu dengan PH, bukti di Tanjung Piai

0

Tahniah kepada Tun Mahathir Mohamad dan Bersatu kerana telah mengatasi calon Bebas, Gerakan dan Berjasa pada PRK Tg. Piai walaupun tumbang kepada BN. Itu juga suatu kejayaan besar

Sekali lagi dapatan kajian Insitut Darul Ehsan (IDE) yang menyokong PH kononnya calon Bersatu akan menang selesa dalam PRK Tg Piai, meleset. Kajian dan ramalan mereka ternyata ke laut. Walaupun Bersatu angkut ribuan orang luar dengan puluhan bas untuk menghadiri majlis ucapan Tun Mahathir dan berkempen menggunakan Siti Nurhaliza, rakyat Tg. Piai tetap menolak. Padan muka Siti.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim terkejut BN menang dengan majoriti undi besar. Pelbagai tafsiran boleh dibuat termasuk terkejut kerana semakin ramai rakyat menolak Tun Mahathir. Juga terkejut kerana Tun Mahathir dan Bersatu kena pukulan maut. Ini bermakna Tun Mahathir walaupun agresif tidaklah sekuat mana dan makin rapuh. Maka mudahlah peluang Anwar untuk menjadi PM Ke-8. Kita tunggu

Kekalahan memalukan ini bukan sahaja mesej bahawa rakyat menolak Tun Mahathir malah juga para pemimpin PH termasuk Anwar Ibrahim, Wan Azizah dan Azmin Ali (PKR); Lim Kit Siang, Lim Guan Eng (DAP); dan Mohamad Sabu, Khalid Samad dan Salahudin Ayob ( PAN). Paling kuat menerima tamparan selain Tun Mahathir adalah Muhyiddin Yassin selaku Pengarah Gerakan PRK PH. Kedua-duanya sudah boleh angkat kaki secaa terhormat sebelum lebih banyak penghinaan menimpa mereka berdua. Rakyat sudah meluat.

Ramalan dan keyakinan berlebihan para pemimpin seperti Tun Mahathir, Muhyiddin Yassin, Khalid Samad, Lim Guan Eng dan Nga Kor Ming bahawa calon PH akan menang besar manakala BN akan tersungkur, memakan diri. Sikap mereka yang suka memperlekehkan BN, hanya merugikan PH. Inilah akibat daripada keangkuhan dan kegagalan memahami suara rakyat. Tidak sampai dua tahun memerintah, besar kepala.

Jika ada pun ramalan paling tepat ia dibuat oleh Syed Saddiq yang telah ‘arwahkan’ calon PH, Haji Karmaine sebelum pun bertanding. Terima kasih kepada Syed Saddiq atas budi bahasa dan adab yang tinggi ketika berucap. Biarlah anggota Kabinet tiga suku seperti ini kekal ( termasuk Mujahid Yusof Rawa, Maszlee Malek, Mohamad Sabu, Khalid Samad, Teresa Kok dan S. Kulasegaran).

Strategi Muhyiddin Yassin, Berita Harian, NST dan TV3 asyik memainkan sentimen kebencian kononnya antara MCA dan Pas dalam beberapa isu berkaitan, tidak berhasil. Akhirnya rakyat memilih calon BN/MCA, Dato Seri Dr. Wee Jeck Seng mengatasi sentimen kebencian yang turut dimainkan dengan cara keterlaluan oleh Tun Mahathir, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Khalid Samad dan Salahuddin Ayob. Sebenarnya antara Pas dan komponen BN boleh diharmonikan. Yang makin nampak buruk kerana main politik kebencian kaum adalah DAP.

Penggunaan media arus perdana secara keterlaluan untuk menyokong calon Bersatu dan kempen PH sedikitpun tidak berkesan. Laporan BH, NST, TV3, RTM misalnya ibarat mencurah air di daun keladi. Malah iklan besar besaran PH di akhbar Sinar Harian untuk menyokong calon PH sekadar membazir wang rakyat. Terbukti bahawa segala janji kerajaan PH di bawah era Malaysia Baru untuk memastikan media arus perdana yang bebas, adil dan terbuka serta berani menegur kerajaan hanya satu lagi penipuan berangkai. Portal berita menyokong PH seperti Bebas News ternyata tidak relevan dan hanya syok sendiri. Eloklah pengurusan termasuk editor semua organisasi media yang dimaksudkan meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab. Ini semua editor makan dedak tidak performed. Sudah empat PRK, PH kalah dan media mereka gagal sama sekali dalam propaganda sejak PH berkuasa Mei 2018. Penasihat media kerajaan PH, Kadir Jasin yang kini dibenci ramai, sepatutnya segera mohon maaf, kalaupun enggan berundur.

Kongres Maruah Melayu yang digerakkan oleh Bersatu untuk tujuan melonjakkan sokongan Melayu kepada Tun Mahathir dan parti itu makin terbukti gagal malah bertukar kepada penghinaan. Apa yang pasti orang Islam dan Melayu menolak PH kerana Bersatu apatah lagi PKR dan PAN gagal membela kepentingan Islam dan Melayu. Tun Mahathir, Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan Azmin Ali asyik beretorik. Anwar lagilah teruk – begitu liberal dan sudah tiada agenda bumiputera.

Kegagalan kerajaan PH menangani dengan bijak dan tegas kes semburit Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memberikan kesan buruk. Tindakan Tun Mahathir membiarkan isu itu disapu di bawah permaidani menjadi kotoran tidak terbersih buat PH. Sebenarnya rakyat mahu melihat Azmin digugurkan, rombakan besar kepada Kabinet termasuk Guan Eng ditukar portfolio dan Tun Mahathir tidak tunduk kepada DAP.

Kegagalan calon PH dalam PRK Tg Piai juga adalah manifestasi rakyat menolak pelbagai tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan ke atas UMNO, Pas dan para pemimpinnya termasuk Najib Razak. Ini meliputi pembekuan aset yang melebihi tempoh dan secara melanggar undang-undang, menyalahgunakan AMLA sebagai senjata politik, menyalahgunakan LHDN dan SPRM untuk mengugut serta menekan para pemimpin UMNO. Semua tindakan ini mengundang simpati rakyat yang melihat kerajan PH terutama Tun Mahathir dan Lim Guan Eng begitu zalim.

Langkah Tun Mahathir mahu melemahkan UMNO dengan memancing para pemimpin UMNO seperti Mustapha Mohamad dan Hamzah Zainuddin secara lompat parti dan mahu memecah belahkan UMNO bukan strategi yang berhasil malah membawa padah. Dengan kata lain, keputusan PRK Tg Piai adalah mesej menolak penubuhan kerajaan secara pintu belakang melalui inisiatif Bersatu, Azmin Ali dan Hishamuddin Tun Hussein.

Muafakat Nasional yang dirintis oleh UMNO dan Pas adalah formula politik yang berkesan kepada kedua dua parti itu. Pada masa yang sama ia menjadi mimpi ngeri kepada PH terutama DAP.

Keputusan PRK Tg Piai memberi mesej jelas bahawa pengundi Cina sedia berubah secara bertahap tahap untuk kembali menyokong BN memandangkan kegagalan PH mengurus ekonomi dan pelbagai masalah seperti kegagalan menunaikan janji. DAP tidak boleh lagi selesa bahawa bukan Melayu akan semestinya setia mengundi mereka. Prestasi Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan terburuk dalam sejarah negara menjatuhkan lagi keyakinan rakyat termasuk kaum Cina.

Keghairahan para pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng yang asyik meragui dan memperkecilkan penjawat awam termasuk ketika berkempen, mengundang padah. Terbukti dalam empat PRK termasuk Tg Piai, pengundi awal terutama polis memilih BN berbanding PH.

Kecelaruan, kelesuan dan kegagalan Bersatu dalam membela isu yang menjdi perhatian orang Melayu menyumbang kepada kekalahan dalam kesemua PRK. Ini termasuk isu pembununan anggota Bomba, Mohamad Adib, mangsa buli jalan raya Danial yang mati, kes lapan remaja maut dilanggar ketika menaiki basikal, penjaja nasi lemak mati dilanggar dan ketidakadilan dalam isu antara ISIS/ Daesh dan LTTE. Begitu juga isu kebenaran meminum arak secara terbuka di Selangor kepada bukan Islam dan seruan pemimpin PKR, Anwar Ibrahim agar wang zakat dibenarkan kegunaannya untuk membantu bukan Islam seperti cadangan asal DAP.

Sikap pilih kasih Pejabat Peguam Negara dengan memihak serta melepaskan ramai pemimpin dan aktivis Pakatan termasuk Lim Guan Eng ( tuduhan rasuah ) menyebabkan kemarahan rakyat terutama orang Melayu membuak buak di dalam diam. Ini meliputi tindakan menggugurkan dakwaan tertentu ke atas seorang ADUN DAP dalam isu LTTE. Selagi Tommy Thomas masih kekal sebagai Peguam Negara selagi itu, beliau akan terus dilihat sebagai liabiliti. Bekas Peguam pemimpin Komunis, Chin Peng dan penyokong DAP itu tidak mungkin mendapat kepercayaan orang Islam dan Melayu.

Faktor populariti, kerja keras, keberanian menyanggah PH dan sumbangan besar Najib Razak kepada ekonomi rakyat turut menyumbang kepada kejayaan BN pada PRK Tg. Piai. Kes mahkamah ke atas Najib semakin dilihat oleh ramai rakyat Malaysia sebagai konspirasi politik dan komplot hanya disebabkan dendam Tun Mahathir dan muslihat DAP. Pemimpin PH bimbang dengan kebangkitan Najib dan mahu memastikan beliau dipenjarakan. Kini simpati kepada Najib terus meningkat. Najib juga menjadi harapan rakyat apatah lagi beliau saban hari berani mendedahkan salah laku, kepincangan dan kelemahan PH. Dengan kata lain pengaruh Najib tidak boleh diambil mudah oleh PH. Najib kini jauh lebih popular di media sosial berbanding mana-mana pemimpin termasuk Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Rafizi Ramli.

Kisah kekayaan keluarga Tun Mahathir, kes rasuah, rogol, liwat dan salah guna kuasa melibatkan pemimpin PH dan pembantu mereka yang kisah tersebut tersebar luas dalam masyarakat dilihat serius. Gejala rasuah dan salah guna kuasa itu sudah menjadi rahsia terbuka apatah lagi tanggapan bahawa kerajaan PH yang ada ini sekadar kerajaan satu penggal. Di mana mana rakyat termasuk ahli perniagaan bercerita tentang gejala rasuah yang menjadi jadi melibatkan pemimpin dan orang orang mereka walaupun PH menjanjikan kerajaan yang bersih dan telus.

Kos sara hidup dan harga barang yang terus melonjak, kadar pengangguran yang tinggi dan kesukaran mendapat pekerjaan bagi orang muda, pemberhentian ramai pekerja, inflasi yang meningkat, nilai ringgit terus susut, ekonomi merudum dan kehilangan berbilion bilion ringgit di bawah era pentadbiran PH, disifatkan bala dan tragedi kepada negara. Ternyata prestasi PH begitu buruk berbanding BN yang mencatatkan rekod pengurusan ekonomi yang cemerlang. Itu belum menyentuh pelbagai bantuan langsung kepada rakyat yang lenyap dan dikurangkan dengan banyaknya menyebabkan rakyat meliputi peneroka, petani, pesawah, nelayan dan golongan miskin makin tertekan dan menderita. Rakyat tidak boleh selamanya ditipu atau istilah popular apabila merujuk kepada PH iaitu dikencing.

Cukuplah. Rakyat ada maruah.

DATO AZWANDDIN HAMZAH
Presiden, Jaringan Melayu Malaysia

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.