KEKALAHAN Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menunjukkan rakyat sudah muak dengan kerajaan hari ini, kata Tan Sri Rais Yatim.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan itu, ia merupakan kekalahan teruk yang membawa mesej berbentuk ‘gegaran letupan’.

“Jika terus tak peduli janji-janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kalau terus bermenteri tiga suku dan buta, tuli jeritan rakyat, bersedialah untuk berkerajaan tempang dan tumbang di pilihan raya akan datang,” katanya menerusi Twitter.

Keluhannya itu dipercayai ditujukan kepada kerajaan hari ini agar lebih berwaspada dan tidak mengabaikan janji-janji kepada rakyat termasuk kekalahan PH pada PRK kali ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng merampas kembali kerusi Parlimen itu dengan majoriti besar sebanyak 15,086 undi.

Jeck Seng, 55, memperoleh sebanyak 25,466 undi mengatasi pencabar terdekatnya iaitu calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi. – 19 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.