EKORAN kekecohan dan viral tetang berita pertemuan Ahli Parlimen Barisan Nasional di rumah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

Tindakan sebilangan ahli parlimen itu dipertikai rakyat di bawah, tidak kurang juga yang menzahirkan rasa marah terhadap mereka.

Apa juga motif dan niat mereka, ia bukanlah satu tindakan yang wajar kerana sudah pasti pertemuan itu membelakangi parti.

Dalam keghairahan segelintir pemimpin pembangkang yang masih berkira-kira untuk berkuasa semula melalui pintu belakang diingatkan bahawa parti kita masih bermaruah, jangan sesekali gadai kepercayaan rakyat.

Selepas kemenangan besar BN di PRK Tanjung Piai baru-baru ini membuktikan rakyat sudah pun menolak kerajaan Pakatan Harapan dan memilih Barisan Nasional sebagai wakil suara mereka di dewan rakyat.

Jadi ahli Parlimen BN sepatutnya lebih hargai mandat daripada rakyat dan lebih fokus kepada kerja-kerja membela serta mengangkat suara mereka daripada terlibat dalam kancah masalah dalaman Parti-parti Kerajaan Pakatan Harapan.

Saya menyokong penuh kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan semua wakil rakyat UMNO patuh kepada ketetapan parti dan apa sahaja tindakan mestilah dibuat secara bersama atau ‘enbloc’.

Saya juga bersetuju semua ahli parlimen terbabit disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin parti dan diambil tindakan tegas.

Kepada ahli-ahli akar umbi di bawah saya nasihatkan agar bertenang, dan terus bersama-sama pucuk pimpinan parti melawan kerajaan Pakatan DAP yang menzalimi rakyat hari ini dan tendang mereka dari Putrajaya pada PRU 15 nanti. – 20 November 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.