PERDANA Menteri, Tun Mahathir Mohamad perlu berani membuat rombakan Kabinet sekiranya mahu mendapatkan semula sokongan rakyat, kata Tan Sri Rais Yatim.

Ia susulan kekalahan memalukan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu berkata, tindakan itu yang sepatutnya dilakukan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berbanding melakukan post-mortem untuk mengenalpasti punca sebenar kekalahan.

“Bagi saya post-mortem boleh buat, tapi intisari kelemahan itu orang kampung sudah tahu.

“Perdana Menteri kena berani rombak wira-wiranya di Kabinet,” katanya kepada Sinar Harian.

Rais berkata, beliau juga sudah menjangkakan PH akan tewas di Tanjung Piai, namun bukan majoriti lebih 15,000 undi.

“Saya tersentak dengan keputusan PRK kali ini. Orang Melayu lebih sukakan calon MCA, apatah lagi pengundi Cina sendiri,” katanya.

Menurutnya, selain rakyat marah kerana janji PRU14 masih belum dilaksanakan, jentera PH juga didapati lemah kerana ada Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang tidak cukup penyertaan tempatan.

Selain itu, katanya, wujud ketidakselarasan pimpinan dalaman di Johor antara Pengerusi Bersatu, Menteri Besar dan lain-lain.

“Malah, segelintir menteri dan pemimpin yang terlajak cakap turut memburukkan keadaan,” katanya. – 21 November 2019.

3 COMMENTS

  1. Saya amat setuju , pandangan yg amat bernas dari Datuk Rais Yatim…….Org lama masih berbisa idea nya. …berdasarkan mesej. Prk Tg Piai.

  2. Sejujurnya,….Dah agak terlambatlah Tan Sri,…formula kesederhanaan permuafakatan nasional, yang inklusif, padu, sehati dengan hala-tuju yang jelas, ternyata telah menambat hati rakyat tanpa goyah.
    Nak ucapkan selamat tinggallah, PH,….. Takut tak sempat !!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.