Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

ROMBAKAN Kabinet akan mengambil masa kerana memerlukan penelitian yang sempurna sebelum mengubah kedudukan menteri-menteri sedia ada, kata Tun Mahathir Mohamad.

“(Rombakan) bukanlah hari ini atau esok tetapi setelah kita mengkaji dan meneliti pencapaian dan kebolehan menteri-menteri barulah kita akan bincang kemungkinan untuk kita rombak Kabinet.

“Saya perlu beri pertimbangan kepada parti komponen. Saya tidak boleh begitu mudah mengambil, menukar atau menggugurkan mana-mana pihak,” kata Perdana Menteri.

Beliau menambah, rombakan Kabinet juga disifatkan bukan jaminan untuk menyelesaikan masalah, justeru ia perlu dibuat dengan berhati-hati.

“Rombakan bukan dengannya sendirinya menjadi satu tindakan yang boleh memulihkan kedudukan kerajaan.

“Sebab itu perlu berhati-hati. Kita nak tahu prestasi menteri-menteri yang ada sekarang sama ada mereka perlu digugurkan atau tidak, atau perlu digilap dan sebagainya. Sebelum kita pilih orang lain untuk ganti, perlu betul-betul tahu apa kemampuan dia,” katanya.

Tun Mahathir menimbang desakan agar rombakan Kabinet dibuat selepas kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.

Dr Mahathir berkata, beliau akan mendengar pandangan Majlis Presiden PH berhubung desakan berkenaan.

“Kita alami kekalahan yang besar, mungkin parti kita ni baru (jadi) kena susun parti kita cukup lengkap. Kita juga dapati ada isu-isu berkenaan ekonomi tak dapat memberi bantuan seperti kerajaan yang sebelum ini dan ada macam-macam lagi, tapi akhirnya kita berpendapat kita mengadakan rombakan Kabinet.

“Saya sebagai Perdana Menteri bertanggungjawab berkenaan rombakan Kabinet dan saya dengar pandangan mereka dan akan beri keterangan desakan supaya kita rombak Kabinet,” katanya. – 21 November 2019.

1 COMMENT

  1. Betul sangat tu Tun !!! Rombakan kabinet menteri2 badut tidak akan menyelesaikan masalah. Tukar je kerajaan PH kepada kerajaan Muafakat Nasional, lebih meyakinkan rakyat jelata !! Tun, PM in-waiting dan semua badut2 menteri cari lah kerja lain.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.