Tarik warga Hong Kong : Masalah sedia ada belum selesai, hendak tambah masalah baru ?

0

Melalui satu kenyataan media, REACH berpandangan gesaan Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway agar kerajaan menarik ke negara ini warga Hong Kong yang melarikan diri dari masalah ekonomi di wilayah itu dan undang-undang keselamatan yang kontroversi Negara China adalah tidak sensitif kepada realiti sebenar di negara kita.

Beliau mungkin adalah seorang ahli ekonomi tetapi REACH melihat beliau seolah-olah tidak memahami akan masalah-masalah sosial yang wujud akibat kebanjiran warganegara asing ke negara kita.

Ketika pandemik Covid-19, masalah yang timbul akibat kehadiran warganegara asing sama ada yang memiliki permit atau tidak telah terserlah dan pihak berkuasa telah berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut.

Sebelum ini kita dikejutkan dengan lebih 76,000 warga Negara China yang hilang kerana tidak memiliki rekod telah meninggalkan negara. Kita masih belum lagi dapat melihat satu penyelesaian kepada masalah ini. Walaupun ramai Pendatang Asing Tanpa Izin ( PATI ) telah ditahan dan ada yang akan dihantar pulang namun kita tidak nampak mereka yang hilang ini berjaya dikesan sepenuhnya.

Justeru itu kita tidak perlu menambah masalah ketika masalah sedia ada belum lagi dapat diselesaikan.

Jangan kita mengambil sikap pilih kasih atau “double-standard” dengan memberikan layanan istimewa kepada warganegara asing yang kaya seperti dari Hong Kong tetapi menghalau mereka yang miskin walaupun nyawa mereka terancam di negara asal mereka. Kita perlu konsisten di dalam layanan kita terhadap mereka.

Nyawa warganegara China dari Hong Kong tersebut tidak terancam. Mereka hanya mahu melarikan diri dari tertakluk di bawah undang-undang baru negara tersebut dan keadaan ekonomi yang dikatakan tidak menentu. Ianya bukan satu sebab untuk kita membuka pintu kepada mereka.

Jika kita hendak menarik pelaburan, tarik pelabur-pelabur yang tidak mempunyai masalah dengan negara asal mereka kerana kita tidak mahu mengeruhkan hubungan di antara negara kita dan negara asal mereka.

Harga hartanah yang murah di negara kita juga bukan satu sebab untuk menarik mereka. REACH berpandangan kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk memastikan setiap rakyat Malaysia menikmati perumahan yang sempurna dan bukan membantu pemaju menjual rumah kepada warganegara asing. Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak insentif kepada pemaju untuk membina rumah mampu milik dan mewujudkan skim sewa milik ( Rent To Own ) untuk memudahkan rakyat memiliki rumah mereka sendiri. – 3 Jun 2020

Dato’ Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
REACH
( Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan / Resource Centre For The Advancement Of The Community And Housing )

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.