‘Abah Din’ memang layak dapat ‘A’

0

Pada tanggal 9 Jun 2020, maka genaplah 100 hari Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin dan memacu negara selaku Perdana Menteri yang ke 8.  Disepanjang tempoh ini, beliau telah memimpin negara dengan cemerlang dan layak untuk diberikan tahap A sepertimana yang disifatkan oleh PAS.  Ini dipetik daripada kata-kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa Muhyiddin berjaya menangani masalah negara terutamanya didalam isu memerangi COVID-19.

“Pada pandangan peribadi saya, beliau (Muhyiddin) berjaya menunjukkan kebolehan sebagai Perdana Menteri kerana beliau mempunyai pasukan baik dan orang-orang hebat bersama beliau.”

“Kalau boleh bagi markah, memang saya bagi A dalam tempoh 100 hari,” katanya didalam satu temubual selepas mesyuarat exco, di Kota Bahru pada 10 Jun 2020.

9 Jun 2020, genap 100 hari pertama Muhyiddin sebagai Perdana Menteri menerajui pentadbiran negara sejak 1 Mac 2020, dengan menggalas tanggungjawab paling besar di saat negara turut diuji dengan krisis kesihatan yang melanda akibat penularan pandemik COVID-19 yang turut memberikan kesan terhadap ekonomi negara.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Selain daripada itu, Hazrul Shahiri, pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), turut mengatakan bahawa Muhyiddin bukan sahaja mengubah isu kesihatan COVID-19 untuk menjadi peluang membuktikan kemampuannya sebagai Perdana Menteri, malah berusaha memulihkan ekonomi negara dan menstrukturkan semula kitaran ekonomi.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod juga melihat Muhyiddin menyerlahkan wataknya yang kurang bercakap tapi cekap bekerja dalam menyampaikan mesej yang cepat dan tepat, kena pada isu semasa dan bukannya cakap kosong atau berjanji politik semata-mata.

Walaupun sebagai presiden Bersatu, beliau jarang sekali membidas pihak pembangkang walaupun dirinya dan kerajaannya teruk dikritik, katanya.

“Malah beliau berjiwa besar dan masih cuba untuk berdamai dan bertemu dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad namun gagal. Ramai menganggap bahawa ini adalah gerak taktikal dalam politik namun itulah karakter Muhyiddin dan cara beliau sering menenangkan suasana yang panas,” katanya.- 10 Jun 2020

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.