Imbangi Masalah Ekonomi Rakyat dan Penularan Wabak Covid-19

0

Sehari dua ini heboh diperkatakan mengenai ura-ura Kerajaan akan mengumumkan PKP 3.0 dengan kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat. Bahasa mudahnya ‘total lockdown’. Sama seperti apa yang pernah Kerajaan laksanakan pada Mac tahun lalu.

Ura-ura ini timbul apabila tersebarnya kenyataan daripada Dewan Perniagaan dan Industri Eropah – Malaysia (EuroCham Malaysia) yang mendakwa wujudnya perbincangan antara pihak mereka dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenai kemungkinan perkara itu akan diumumkan oleh Kerajaan.

Ini bukanlah satu ura-ura yang disambut baik oleh rakyat. Benar, Kerajaan mungkin berpandangan bahawa menyekat pergerakan rakyat adalah jalan terbaik untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Tetapi ini juga menunjukkan bahawa Kerajaan telah hilang ikhtiar. Maka, mereka ambil jalan mudah.

Mungkin masih terlalu awal untuk memberi reaksi kepada ura-ura tersebut. Apatah lagi EuroCham – Malaysia kemudiannya mendakwa perbincangan itu adalah tidak rasmi, namun seperti kata Presiden UMNO, ‘nawaitu’ itu sudah ada. Cuma belum ada ‘akadnya’ lagi.

Rakyat bimbang. Jika mereka tidak dibenarkan untuk keluar bekerja atau berniaga, mereka akan kehilangan sumber pendapatan. Makin ramai yang akan hilang kerja apabila majikan mereka terpaksa gulung tikar kerana tidak dibenarkan beroperasi.

Dan jika ini berlaku, sudah pastilah hidup rakyat akan makin susah. Dihimpit dengan masalah kewangan yang akhirnya menyukarkan mereka untuk menyara keluarga masing-masing.

Untuk itu, sebelum melakukan apa sahaja keputusan, Kerajaan perlulah merangka strategi bagi mengimbangi masalah penularan pandemik ini dan juga masalah kewangan yang bakal dihadapi rakyat. Janganlah hanya melihat pada satu aspek sahaja. Sebaliknya perlu menyeluruh. Ambil kiralah permasalahan kewangan yang sedang, bakal dan telah dihadapi rakyat.

Hari ini pun rakyat telah terbeban dengan masalah ekonomi. Tetapi Kerajaan seolah-olah membiarkan sahaja rakyat memikirkan sendiri masalah kewangan yang mereka sedang hadapi. Pakej rangsangan PERMAI yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua minggu lalu juga tidak ada yang baharu. Segala pengumuman yang dibuat kebanyakannya bersifat kitar semula daripada pengumuman Belanjawan 2021 sebelum ini.

Sepatutnya, perkara pertama yang perlu Kerajaan lakukan adalah dengan mengarahkan bank-bank untuk mengenakan lanjutan moratorium automatik selama sekurang-kurangnya tiga bulan untuk rakyat. Ini setidak-tidaknya dapat membantu rakyat yang kini telah terbeban dengan pelbagai hutang termasuk hutang pinjaman perumahan dan kenderaan. Jika tidak pun, berikanlah moratorium automatik secara bersasar.

Syarikat-syarikat kecil yang mempunyai pinjaman perniagaan daripada bank juga perlu dipertimbangkan untuk diberikan moratorium kepada mereka. Kerana mereka kini sedang terjejas teruk akibat pandemik yang sedang melanda negara.

Selain itu, Kerajaan tidak boleh lupa kepada anak-anak yang sedang bersekolah. Mereka terpaksa bersekolah dalam suasana norma baharu dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR). Dengan pelaksanaan PdPR ini Kerajaan perlu pastikan tidak ada satu pun murid yang tetinggal dalam pelajaran. Bantu mereka menyediakan komputer riba atau tablet supaya setiap murid ada akses kepada ‘bilik darjah’ mereka. Jika lebih dua puluh tahun lalu Kerajaan boleh perkenalkan skim ‘satu rumah satu komputer’ mengapa tidak sekarang perkenalkan skim ‘satu murid satu komputer’?

Komputer riba atau tablet hari ini adalah satu keperluan yang wajib ada pada setiap murid. Tetapi masih ramai rakyat yang tidak mampu menyediakannya untuk anak-anak mereka. Maka, Kerajaan perlu bantu. Jangan hanya berpeluk tubuh. Tetapi bertindaklah.

Justeru, sekali lagi ditegaskan, Kerajaan perlu serius membantu rakyat dalam saat sukar ini. Rangka satu strategi pemulihan secepat mungkin. Rakyat kini sedang susah. Rakyat kini dihimpit dengan pelbagai masalah kewangan. Bantulah. Buktikan pada semua bahawa Kerajaan hari ini benar-benar merupakan Kerajaan Prihatin. Jangan hanya manis berkata-kata. Tetapi hakikatnya tidak serupa seperti dikhabarkan.- 26 Januari 2021

DATO’ MOHD ZAIDY ABDUL KADIR
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.