Titah DYMM Sultan Selangor Tentang Isu Kalimah Allah

0

KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR

Merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam kes Jill Ireland binti Lawrence Bill melawan Menteri Bagi Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dan setelah membaca penghakiman penuh oleh Hakim Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Mac 2021 di dalam kes tersebut, Beta menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang samasekali penggunaannya di Negeri Selangor. Beta mengulangi pendirian Beta bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan. Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam. Namun demikian sekiranya perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God”, Beta tiada halangan atas penggunaan perkataan “Tuhan” tersebut.

Penegasan Beta ini juga adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain. Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah tersebut. Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya umat Islam di Negeri Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun.

Beta juga menitahkan agar rakyat Beta yang bukan beragama Islam di Negeri Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988. Ini termasuklah larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan bagi tujuan menamakan tempat-tempat perniagaan atau bangunan.

Sebagai Ketua Agama Islam Selangor, Beta tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini kerana memelihara kesucian kalimah Allah ini adalah menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab Beta seperti mana Firman Alah S.W.T di dalam ayat 65 surah at-Taubah yang melarang daripada mempermainkan dan mempersendakan kalimah Allah : Yang bermaksud: “Katakanlah, patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

Apa gunanya Beta menjadi ketua Agama Islam Selangor jika Beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri. Beta sentiasa menekankan agar rakyat Beta dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Negeri Selangor ini. Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka Beta juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam.

Beta juga berkesempatan untuk membaca titah yang dizahirkan oleh D.Y.M.M. Sultan Johor dan menyokong penuh titah Sultan Johor yang meminta kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Beta juga menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan tersebut dan turut menyeru agar perkara yang sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri lain (MAIN) bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam.-23 Mac 2021

“PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAM”

“BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT DAN NEGARA”

Sekian.

D.Y.M.M. SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ
SULTAN SELANGOR

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.