UPM, IPT pertama bangunkan aplikasi mudah alih pilihanraya kampus

0

Institusi pengajian tinggi (IPT) pertama membangunkan aplikasi muda alih sendiri, Universiti Putra Malaysia (UPM) akan melaksanakan pilihan raya kampus yang dijangkakan berlangsung esok.

Aplikasi berasaskan persekitaran telefon pintar itu yang dikenali sebagai Putra®️Voting, dilengkapi dengan sistem kawalan pengenalan identiti, UPMID dan boleh dicapai oleh pengguna melalui Android dan iOS.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr. Arifin Abdu berkata, pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada kali ini terpaksa diadakan secara aplikasi mudah alih kerana tidak semua pelajar berada di kampus berikutan pandemik Covid-19, selain arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Melalui aplikasi Putra®️Voting, pelajar tidak perlu lagi melaksanakan pengundian di kampus, sebaliknya mereka boleh mengundi di mana-mana menggunakan telefon pintar masing-masing pada bila-bila masa.

“Ternyata kaedah ‘semuanya hanya di hujung jari’ boleh direalisasikan dengan memanfaatkan teknologi jalur lebar, aplikasi dan peranti pintar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang memangku tugas Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr. Zulkifli Idrus memberitahu, pelaksanaan pendigitalan kampus merupakan satu anjakan besar yang memberi cabaran baharu kepada universiti itu.

Menurutnya, UPM perlu sentiasa peka dan bersedia melakukan perubahan seiring transformasi digital untuk kekal berdaya saing.

“UPM amat berbangga kerana merupakan IPT pertama yang melaksanakan pengundian MPP secara aplikasi mudah alih,” ujarnya. – sumber utusan Malaysia, 28 Mac 2021

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.