Jangan Terperangkap Dengan Persepsi – Datuk Seri Ismail Sabri

0

 Dakwaan Pas yang tidak mahu bekerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional hanya satu bayangan yang belum pasti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dakwaan yang dilaporkan itu tidak memberikan gambaran sebenar tentang kenyataan yang diucapkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kita pun tidak tahu sejauh mana kenyataan itu. Kita tidak tahu dia (Abdul Hadi) cakap lain dan mungkin dari segi penulisan berbeza dengan apa yang diperkatakan.

“Jadi, kalau setakat membayangkan itu, ia tidak membawa makna apa-apa. Jadi kita tunggu yang betul-betul (keputusan tepat) mengenai kerjasama Muafakat Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia di Hotel Swiss-Bell Tanjung Lumpur, di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, sebuah portal berita melaporkan kenyataan Abdul Hadi yang mengambarkan berlakunya perpecahan Pas dengan UMNO.

Abdul Hadi dikatakan tidak akan bekerjasama dengan UMNO dan mengajak kumpulan Islam selamatkan negara dengan pakatan baharu iaitu Perikatan Nasional.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Ismail Sabri berkata, setiap dua minggu sekali barisan kepimpinan kedua-dua parti dalam Muafakat Nasional mengadakan mesyuarat dan perbincangan.

“Kita ada mesyuarat Muafakat Nasional yang dipengerusikan secara bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan setiap dua minggu sekali.

“Kita akan bermesyuarat dan memperbincangkan pelbagai isu dalam Muafakat Nasional sebelum membuat keputusan,” katanya.-3 April 2021

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.