Kita Sedang Merosakan Alam –  Puan Sri Shariffa Sabrina 

0

Kita Sedang Merosakan Alam –  Puan Sri Shariffa Sabrina 

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menyeru agar kerajaan mempertimbangkan semula prosedur operasi standard (SOP) pemakaian sarung tangan pakai buang sebelum memasuki kedai pakaian yang bermula 10 Februari lepas.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata SOP tersebut dikhuatiri akan menambahkan lambakan sisa pepejal plastik yang sukar terurai di tapak pelupusan sampah sekali gus memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

“Kita terlampau sangat nak mengelak daripada COVID-19 tapi secara tidak langsung kita guna benda yang merosakkan alam,” katanya kepada Bernama.

Dalam usaha memerangi pandemik, Shariffa Sabrina berharap kerajaan dan masyarakat tidak mengabaikan kesan jangka panjang kepada alam sekitar terutamanya dalam aspek kesihatan dengan menggunakan barangan daripada bahan mudah urai.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berpendapat tiada keperluan pemakaian sarung tangan pakai buang untuk tujuan memilih pakaian bagi mengelak jangkitan menerusi sentuhan.

“Berdasarkan nasihat oleh CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat), bagi orang awam, memakai sarung tangan tidak perlu dalam kebanyakan situasi seperti membeli-belah. CDC menyarankan pemakaian sarung tangan apabila anda membersihkan atau merawat orang sakit.

“(SOP ini) tak banyak membantu (mengurangkan potensi penularan virus), malah boleh buat orang leka atau ambil mudah akan amalan membasuh tangan dan sanitasi,” katanya.

Zainal Ariffin berkata sebaliknya, penggunaan cecair pembasmi kuman untuk membersihkan tangan sebelum memasuki premis adalah lebih relevan dan berkesan untuk tujuan itu.

Pada 9 Feb lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran sektor peruncitan, meliputi pakaian, fesyen, aksesori dan kedai kasut untuk dibuka semula dengan mengingatkan pengusaha pakaian memberi pelanggan sarung tangan pakai buang ketika memasuki premis.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.