Datuk Ezam Akan Cabar MB Selangor Pilihanraya Ke 15 

0

 

Bekas senator Datuk Ezam Mohd Nor memberi bayangan bahawa dia akan membuat kemunculan pada pilihan raya umum ke-15 nanti dengan menentang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.

“Saya dah dapat banyak saranan dari akar umbi.

“Di Selangor, di Gombak. DUN Sungai Tua saya sendiri yang nak melawan Amir.

“Sekiranya parti masih lagi mencalonkan beliau sebagai calon. Saya juga mengambil sikap terbuka. Saya mendengar dari akar umbi. Sekiranya perlu memang saya bersedia,” kata Ezam selepas acara flashmob oleh NGO Gerak 98 dan Otai Reformis di Kuala Lumpur.

Ezam kini memimpin gerakan  yang dijuluki nama Gerak 98.

Ezam meninggalkan Umno ketika menjadi pemimpin pemuda.

Bekas ketua pemuda PKR itu kemudian meninggalkan parti itu pada 2008 untuk menyertai Umno semula.

Bagaimanapun, Ezam keluar dari Umno buat kali kedua pada 2016, selepas dua tahun menjadi pengarah komunikasi kementerian kewangan di bawah pentadbiran Najib Razak.

Dalam memastikan peristiwa pengkhianatan dalam kalangan pimpinan parti tidak berulang, Ezam mendakwa masih terdapat mereka yang berpihak kepada bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali di dalam PKR.

Malah, ada di antaranya yang memegang jawatan di dalam kerajaan negeri Selangor.

“Yang masih lagi dalam parti dan kerajaan negeri, yang pada hemat kami tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka benar-benar sudah meninggalkan Azmin. Tidak ada kenyataan keras kepada Azmin.

“Di Gombak sendiri pun saya sudah turun lebih dari empat, lima kali, ramai lagi orang-orang Azmin yang diberikan posisi penting.

“Orang anti-Azmin tidak diberikan posisi. Dalam GLC di Shah Alam juga banyak posisi-posisi utama diberikan kepada orang Azmin,” katanya.

Dia turut mencabar supaya sekiranya mereka yang dimaksudkan itu benar-benar berjiwa reformis, mereka digesa tampil untuk menawarkan kepada parti berkenaan keputusan mereka dan tidak dicalonkan dalam PRU15.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.